Wednesday, July 27, 2011

WARAN / HAK LANGGANAN BOLEH PINDAH (TSR)

WARAN DAN HAK LANGGANAN BOLEH PINDAH (TSR)

Hak Langganan Boleh Pindah (TSR) atau kini lebih dikenali sebagai waran, memberi pemegangnya hak tetapi bukan kewajipan, untuk melanggan saham biasa baru pada harga kuat kuasa yang telah ditetapkan dalam tempoh masa tertentu. Perlu diingat bahwa waran tidak bernilai lagi selepas tempoh masa yang ditetapkan.

Apabila membeli waran, bayaran yang boleh dijelaskan biasanya lebih rendah daripada harga saham atau aset pendasar yang diliputinya, justeru ia tidak memerlukan modal yang tinggi berbanding membeli saham atau aset pendasar di pasaran secara langsung. Oleh itu, waran memberi anda hak untuk membeli instrument dasar pada harga yang telah dipersetujui dalam jangka masa yang telah ditetapkan.

Contohnya, jika anda membeli waran untuk saham sebuah syarikat, anda lebih dahulu dikehendaki membayar harga waran (misalnya RM0.50 satu unit), yang biasanya lebih rendah daripada harga saham. Dalam tempoh yang telah ditetapkan, waran memberi anda hak untuk melanggan saham pada harga kuat kuasa yang ditetapkan, misalnya RM2 bagi setiap saham. Jika harga pasaran saham itu naik melebihi RM2 (harga kuatkuasa), anda boleh membiat keputusan untuk menguatkuasakan hak anda dengan membeli saham pada harga yang dipersetujui (kuat kuasa) iaitu RM2.

Sekiranya keadaan yang sebaliknya berlaku, iaitu harga aset pendasar atau saham seperti yang terdapat dalam contoh di atas jatuh bawah paras RM2 (harga kuatkuasa) , anda boleh membuat keputusan untuk tidak menguatkuasakan hak anda untuk melanggan saham tersebut pada harga (kuat kuasa) RM2 kerana ianya tidak lagi menguntungkan. Ia tidak lagi menarik kerana anda boleh membelinya di pasaran dengan harga yang lebih rendah. (Contoh yang diberi di atas hanyalah sebagai gambaran dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan untuk membeli atau menjual waran)

Ingatlah bahawa waran tidak bernilai lagi selepas tamat tempoh pelaksanaan yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment